Sinopsis watak-watak utama dalam filem Bunohan
Bunohan mengenai kisah tragik kasih sayang 3 beradik
dan bapa mereka yang semakin tua dan uzur. Kisah ni berlaku di sebuah kampung
pedalaman di Kelantan bernama Bunohan (dekat sempadan Malaysia- Thailand). Tiga
beradik itu ialah Ilham (lakonan Faizal Hussein) seorang pembunuh upahan, Ilham
ni merupakan abang tiri kepada Adil dan Bakar. Adil (Bunga Lalang) lakonan
Zahiril Adzim, seorang peninju Tomoi, dan seorang lagi Bakar ialah ahli
perniagaan (lakonan Pekin Ibrahim). Dain Said, Pengarah
filem Bunohan menjadikan kampung mereka (yang bernama Bunohan) seperti 'pentas'
di mana penonton melihat watak dan perwatakan mereka. Rumah usang Pok Eng (Wan
Hanafi Su) menjadi 'pentas dalam pentas' yang mengandungi seribu rahsia tentang
masa silam Pok Eng bersama arwah isterinya, Mek Yah (Tengku Azura), seorang
wanita yang mempunyai ilmu perubatan yang luar biasa. Antara
perkara yang amat mengkagumkan dalam filem Bunohan ialah lakonan. Ternyata apa
yang timbul di layar adalah watak-watak yang direka Dain Said, dari watak-watak
utama sehinggalah ke watak-watak sampingan. Melalui kostum, kelakuan, aksi dan
pertuturan mereka, penonton mendapat kepastian bahawa mereka ini bukan pelakon
seperti yang dikenali sebelum ini tetapi watak-watak yang menjadi penghuni
tetap di kampung Bunohan.
Watak-watak utama filem ini juga diperkenalkan
secara tidak langsung oleh watak-watak tanpa nama di awal filem ini secara menyebut
nama pelakon yang muncul di kaca televisyen sebuah warung kopi. Selepas
bertahun-tahun tidak berjumpa (dan ada yang belum pernah berjumpa), ketiga-tiga
mereka pulang ke Bunohan pada masa yang hampir sama tanpa berjanji. Ilham,
seorang pembunuh upahan pulang untuk mencari Bunga Lalang yang khabarnya lari
menyembunyikan diri di Bunohan. Bakar yang sudah lama menetap di Kuala Lumpur
pulang untuk memujuk bapanya supaya menjual tanah di kampung kepada pemaju,
manakala Adil seorang peninju tomoi lari bersembunyi selepas enggan meneruskan
perlawanan tomoi ‘lawan sampai mati’ yang terpaksa disertainya kerana
berhutang.
Watak Ilham seorang pembunuh upahan, bila sedang
‘berkerja’ sangatlah seorang yang tidak beremosi. Tetapi, sekembalinya ke
Bunohan, terdapat banyak sisi-sisi romantis Ilham yang boleh dilihat.
Dirinya menjadi marah apabila mendapat tahu kubur arwah ibunya dialihkan ke
tempat lain dan telah mengambil masa berhari-hari untuk meletakkannya semula ke
tempat asal. Ilham juga sangat sayangkan darah dagingnya sendiri tetapi dengan caranya yang tersendirilah.
Dalam masa yang sama, dia tidak lupa dengan etika dan peraturan sebagai seorang
pembunuh upahan. Ilham hampir membunuh Adil, adiknya sendiri, kerana diupah. Di
saat-saat akhir, Ilham rela adiknya terus hidup. Konflik perasaan dan jiwa yang
dihadapi Ilham diperkuatkan lagi dengan visual yang cukup menggambarkan sisi
perwatakannya yang gelap berlatarkan ombak besar, bayang cahaya bulan, gumpalan
awan hitam dan wajah bersalut peluh jantan yang tidak pernah henti menitis.
Watak Bakar pula nampak baik dari segi rupa-mat
belia, pakai cermin mata, baju ke dalam, dan seorang guru. Tapi Bakar sangat
tamak dan licik sehingga sanggup mengkhianati keluarganya sendiri. Bakar yang
begitu terdesak untuk merampas tanah pusaka dari ayahnya, sanggup melakukan
sesuatu yang terkeluar dari pemikiran orang yang normal.
Watak Adil pula seorang peninju tomoi dan merupakan adik
paling bongsu, dia melarikan diri dari kampung kerana merajuk dan terasa kurang
mendapat kasih sayang dari keluarga. Bila berjumpa dengan bapanya selepas 5
tahun, hal itu juga yang diungkit. Selain itu, dia juga sedar yang dia menjadi
buruan abangnya sendiri berada dalam dilema untuk mengetahui asal-usulnya
sendiri.
Seterusnya bapa 3 beradik tersebut, iaitu Pak Eng
yang merupakan bekas Tok Dalang yang handal di kawasan tersebut tetapi
merupakan seorang kaki perempuan.
Walaupun tidak lagi aktif bermain wayang kulit, Pak Eng masih mempunyai ‘ilmu’
yang kemudiannya diturunkan kepada Adik, iaitu anak lelaki jirannya.
Arwah ibu
Ilham (lakonan Tengku Azura) dikatakan sebagai pawang wanita handal di Bunohan.
Seorang primadona main puteri yang juga pawang terkenal pada penghujung cerita
merungkai setiap persoalan yang melibatkan mitos buaya putih dan misteri
semangat pada seorang budak, anak jiran mereka. Di situlah letaknya cinta
paling agung yang terbina dari sebuah keruntuhan.Ilham sangat sayang dan arif
dengan rahsia ibunya. Dia amat yakin yang ibunya akan ‘kembali’ .
Dalam filem bunohan tidak mempunyai pelakon wanita
kecuali Tengku Azura iaitu yang membawa watak arwah ibu Ilham. Hal ini munkin
kerana filem ini ingin menonjolkan sistem sosial ‘patriarchy‘ yang
sememangnya wujud di dalam masyarakat kita .
No comments:
Post a Comment