Friday, 9 January 2015

gender

“Perubahan perkongsian berasaskan kesetaraan di antara wanita dan lelaki adalah suatu
keadaan untuk pembangunan yang boleh bertahan yang berpaksikan manusia .”
Mission Stateament, Platform for Action, Fourth World Conference on Women,1995.
Pembangunan yang boleh bertahan tidak boleh wujud tanpa penglibatan penuh dan setara
dari kedua-dua wanita dan lelaki dalam kehidupan awam, budaya, ekonomi, politik dan
sosial.
Di kalangan keluarga, pembahagian berasaskan gender perlu dihapuskan sekiranya
pencapaian mutu hidup merupakan matlamatnya. Anjakan paradigma psikologi perlu
untuk menyedari dan mengakui bahawa ibu dan bapa, isteri dan suami, perlu berkongsi
peranan, tanggungjawab dan tugas keluarga., untuk menghasilkan individu yang bermutu
dan meningkatkan mutu hidup keluarga.
Keluarga dwi-kerja juga kian meningkat bilangannya. Ini juga memerlukan perkongsian
setara dalam tugas dan tanggungjawab antara pasangan. Polisi pekerjaan dan
perkhidmatan sokongan keluarga di tempat kerja yang berbentuk peka-gender, dapat
memastikan produktiviti yang lebih tinggi dan meningkatkan semangat serta penglibatan
kakitangan.
Ketidaksetaraan antara wanita dan lelaki masih lagi wujud dalam perkongsian kuasa dan
membuat keputusan di semua peringkat. Wanita merupakan separuh daripada jumlah
penduduk dunia, tetapi mempunyai kurang dari 10% perwakilan dalam jawatan eksekutif
yang berkuasa. Penglibatan setara dan sepenuhnya oleh kedua-dua wanita dan lelaki
dalam jawatan tinggi, terutama dalam politik, struktur pentadbiran awam dan swasta,
sudah tentunya menyumbang ke arah pembentukan dan perlaksanaan polisi yang lebih baik
untuk masyarakat yang peka-gender.
[Disesuaikan dari Pakej Latihan untuk Jurulatih – Kepekaan Gender dan Perspektif Gender
Dalam Perancangan Pembangunan – Bahagian Hal Ehwal Wanita (HAWA)]
Adakah perkongsian yang diubah berasaskan kesetaraan, mengakibatkan kitaran tidak
sihat bagi lelaki membuktikan kelelakian mereka? Adakah kelelakaian masih digunakan
sebagai kayu pengukur untuk segala-galanya? Jelaslah bahawa ciri-ciri yang dikatakan
milik lelaki lebih nilainya berbanding ciri-ciri feminin.
Kanak-kanak perempuan dan lelaki adalah peserta yang setara dalam semua aspek
kehidupan manusia. Mereka perlu diberi peluang yang setara dan persekitaran yang
menyokong untuk membolehkan mereka memilih sikap, perasaan dan tingkah laku yang
paling serasi, yang menjurus kepada perkongsian tanggungjawab. Kanak-kanak perempuan
dan lelaki seharusnya mula berkongsi tanggungjawab dan memecahkan stereotaip
tradisional yang menghalang pertumbuhan dan perkembangan optimum potensi diri
mereka, dan penglibatan dalam semua aspek kehidupan sama ada di rumah, di sekolah
atau dalam masyarakat. BACAAN TAMBAHAN
PJ/3
‘Gender Role’ oleh Dr Eliza Lee
Pensyarah, Jabatan Kerajaan dan Pentadbiran Awam
The Chinese University of Hong Kong
[Dipetik dengan izin, Family Life Education Handbook for Teachers, 2nd Edition 1995,
The Family Planning Association of Hong Kong]
• Pengenalan
Mengkategorikan manusia kepada lelaki dan wanita dewasa, kanak-kanak lelaki dan
perempuan, dianggap sebagai semulajadi yang ditentukan oleh biologi. Namun demikian,
kajian dalam tempoh 2 dekad yang lalu dalam bidang sains semulajadi dan sosial telah
menarik perhatian terhadap peranan sosial, budaya, ekonomi yang begitu banyak mahupun
proses politik yang membentuk gender. Dari satu sudut, kita tidak dilahirkan tetapi
disosialisasikan untuk menjadi kanak-kanak lelaki atau perempuan, wanita dan lelaki
dewasa. Artikel ini akan memperkenalkan sebahagian dapatan mengenai pembentukan
sosial gender dan implikasinya terhadap kesetaraan gender.
• Membezakan antara Jantina dan Gender
Kini adalah biasa membezakan antara “jantina” dan “gender”. Jantina lelaki dan wanita
adalah berlainan mengikut perbezaan biologi, termasuk anatomi, struktur fisiologi,
hormon, kromosom dan sebagainya. Gender maskulin dan feminin merujuk kepada aspekaspek
psikologi, sosial dan budaya. Paling penting, kita sering menganggap perbezaan
psikologi atau ciri-ciri tingkah laku antara dua gender ini ditentukan oleh biologi, tetapi
kajian mengenai gender akhir-akhir ini secara umumnya merumuskan bahawa tidak ada
kaitan semulajadi antara perbezaan biologi dan penghasilan gender yang terjadi. Malahan
dapatan antropologi menunjukkan banyak variasi dalam gender dan tanggapan gender yang
merentasi budaya.
• Peranan Gender dan Stereotaip Jantina
Peranan gender merangkumi peraturan dan norma budaya yang pasti yang menentukan
bagaimana ahli satu-satu jantina dijangka berfikir dan bertindak. Jangkaan peranan
gender diterima secara subjektif dan dikongsi bersama oleh semua ahli sesebuah budaya.
Dengan itu, ianya juga menentukan perhubungan gender dengan menggariskan cara
bagaimana kedua-dua jantina boleh dan patut berinteraksi.
Gender maskulin dan feminin yang kita ketahui dalam budaya kita dikenali melalui gaya
berpakaian yang berbeza, tingkah laku, dan aktiviti yang dilakukan. Jangkaan identiti dan
peranan gender merupakan paksi terhadap erti diri, mengetahui dan merasakan, siapa
kita sebenarnya dan siapa sepatutnya kita ini. Rumusannya, “kanak-kanak yang memiliki
struktur anatomi tertentu disosialisasikan atau diajar berfikir, merasa, dan bertindak
mengikut cara yang dianggap semulajadi, moral yang sesuai, dan dikehendaki dari jantina
tersebut”. (Richardson, 1988, m.s 7)
Penyelidik di Barat telah menunjukkan bahawa stereotaip jantina adalah kekal kerana
manusia secara konsisten mengaitkan sekumpulan ciri-ciri dengan stereotiap gender.
Menjadi maskulin dikaitkan dengan aktiviti, bersifat kembara, dominan, berwibawa, kuat, rasional, objektif, berdikari dan sebagainya; menjadi feminin dikaitkan dengan
kepatuhan, bertaraf rendah, tidak berdikari, lemah, beremosi, membelai, menyerah dan
sebagainya. Lebih penting lagi, ciri-ciri maskulin diterima secara sosial sebagai norma dan
yang diingini untuk tingkah laku dewasa yang matang; ciri-ciri feminin ialah penyimpangan
dari norma dan kurang diingini (Rosenkrantz et al, 1968, Broverman et, al., 1970). Ini
mengakibatkan situasi konflik peranan bagi wanita khususnya:
bagi wanita, untuk ditimbangkan sebagai matang dan sihat dalam budaya ini, dia mesti
bertingkah laku secara yang tidak diingini dan kurang matang bagi dewasa yang cekap.
Jelas wujud situasi konflik di kalangan wanita yang dibentuk oleh budaya. Jika mereka
memilih bertindak secara dewasa yang lebih diterima oleh budaya mereka, mereka
mengambil risiko keadaan femininnya dipersoalkan. Jika sekiranya mereka memilih
bertindak secara feminin yang telah digariskan, mereka dilayan sebagai dewasa
(Richardson, 1988. P.10).
• Perkembangan Personaliti Maskulin dan Feminin
− Diri “Individu” dan Diri “Perhubungan (relational)”
Pengkaji feminis dalam tahun-tahun akhir ini mempunyai teori lanjutan yang menjelaskan
perbezaan perkembangan personaliti maskulin dan feminin. Pengkaji-pengkaji awal
seperti Nancy Chodorow (1993) dan Carol Gilligan (1982) menunjukkan hubungan dan
keintiman interpersonal yang mengatur secara mendalam pengalaman wanita. Chodorow
menyatakan sebaliknya iaitu “dalam mana-mana masyarakat, personaliti feminin
mendefinisikan dirinya melalui hubungan dan rangkaian dengan orang lain lebih dari
personaliti maskulin. (dalam istilah psikoanalitik, wanita kurang keindividuan berbanding
lelaki; mereka mempunyai lebih batasan ego yang boleh dilentur.)” (1993, p.83).
Chodorow menyifatkan perbezaan yang umum dan hampir sejagat antara jantina sehingga
wanita dianggap sebagai penjaga (caretaker) mengikut peraturan budaya meraka. Dana
Crowley Jack menyatakannya semula:
Membentuk identiti gender yang berkait dengan penjaga wanita memaksa kanak-kanak
lelaki berpisah dari sifat feminin dan mentafsirkan maskulin melalui perbezaan; untuk
menjadi lelaki (male) ialah sebahagiannya menjadi bukan wanita (female). Bagi
kanak-kanak perempuan, proses membentuk identiti gender tidak memerlukan
pemisahan yang serupa dari penjaga mereka. Anak perempuan membawa ke peringkat
remaja dan dewasa lebih banyak aspek perhubungan asal dan yang begitu rapat,
sedangkan anak lelaki mesti melepaskan perhubungan rapat untuk membentuk identiti
gender berasaskan pengasingan dari ibunya…dari perhubungan primer dengan ibu,
identiti gender wanita terbentuk berasaskan pertalian yang berterusan, identiti gender
lelaki berasaskan pengasingan
(1991, p.12).
Chodorow merumuskan bahawa hasil dari perbezaan antara hubungan ibu-anak
perempuan dan ibu-anak lelaki, terdapat beberapa perbezaan yang penting dalam
pembentukan identiti gender maskulin dan feminin. Dalam mencapai identiti gender
maskulin, pertama, keadaan maskulin merupakan isu bermasalah yang berterusan bagi
anak lelaki. Kedua, ianya melibatkan penafian ikatan atau perhubungan, terutama apa
yang dia sifatkan sebagai pergantungan atau keperluan terhadap orang lain, perbezaan
dirinya dari orang lain. Ketiga, ianya melibatkan penekanan dan merendahkan
keadaan feminin…Akhirnya, identifikasi dengan bapa tidak selalunya dibentuk dalam keadaan perhubungan mesra yang memuaskan, tetapi merangkumi usaha untuk
memasukkan dan mempelajari komponen-komponen peranan yang belum lagi mereka
fahami.
Sebaliknya, dalam perkembangan identiti gender kanak-kanak perempuan, keadaan
feminin dan aktiviti peranan wanita mudah difahami dalam dunia sehariannya. Identiti
peranan terakhir ialah dengan ibunya dan wanita…..oleh kerana ibunya berada di
sisinya, dan dia telah mengadakan hubungan dengan ibunya sebagai individu, gender
dan identiti peranan gender kanak-kanak perempuan berlaku melalui dan bergantung
kepada hubungan mesra sebenar (Chodorow, 1993 p.86).
Sepanjang peringkat kanak-kanak, ibu bapa cenderung tidak menggalakkan ekspresi
keperluan ikatan di kalangan anak lelaki, sementara anak perempuan dibenarkan bermesra
dan menunjukkannya, mengukuhkan lagi sifat berdikari anak lelaki dan sifat mengasihi di
kalangan anak perempuan. Ini bermakna anak lelaki dibesarkan untuk menghargai
autonomi dan keindividuan, sementara anak perempuan melihat kejayaan dalam hubungan
interpersonal dan pencapaian keintiman sebagai inti terhadap dirinya. Anak lelaki
mempunyai ‘individuated sense of self” manakala anak perempuan mempunyai ‘a
relational sense of self”.
Satu lagi implikasi penting dapatan kajian ini ialah cara mereka mencabar sifat berat
sebelah lelaki dalam teori psikologi perkembangan manusia, terutama ke atas andaian
‘jiwa lelaki’ (‘male psyche’) sebagai norma dan perbezaan wanita dari norma sebagai
bukti ‘kelemahan’ wanita. Teori ortodoks yang dimajukan oleh Freud, Piaget dan
Kohlberg, menganggap wanita mempunyai “sempadan ego yang lemah” atau lebih rendah
dari lelaki dalam memahami aspek
keadilan atau mencapai kematangan moral. Pandangan negatif tentang psikologi wanita
dinyatakan juga oleh pengkaji feminisma bahawa perbezaan perhubungan ibu-anak
mengakibatkan kanak-kanak perempuan memiliki empati dalam mendefinisikan diri dan
oleh itu menjadi “asas yang lebih kuat untuk mengalami keperluan dan perasaan orang lain
sebagai pengalamannya sendiri” (Chodorow, 1978, p.167). Oleh yang demikian, terdapat
sifat moral di kalangan wanita yang kelihatan sebagai keprihatinan dan rasa
bertanggungjawab terhadap orang lain, tidak bersifat autonomi dan penakulan abstrak.
Walau bagaimana pun, apabila masyarakat mendefinisikan psikologi lelaki dan ciri-ciri
maskulin sebagai norma, dan ciri-ciri kewanitaan sebagai berlainan dari norma, wanita
terperangkap dalam ‘ikatan berganda’ (‘double bind’): “masyarakat masih menekannya
untuk mendefinisi dirinya melalui perhubungannya, tetapi enggan mengakui keinginannya
untuk terikat dengan merendahkan kepentingan ikatan itu” (1991,p.6).
Gambaran yang lebih jelas mengenai cara bagaimana lelaki dan wanita disosialisasi kepada
peranan gender masing-masing memerlukan pemeriksaan pelbagai proses sosialisasi,
termasuk keluarga, sekolah, media massa, budaya dan sebagainya, yang tidak dapat
dirangkumkan dalam bab ini. Dua bidang penting akan dibincangkan, iaitu keluarga dan
sekolah.
~ Keluarga
Keluarga menyediakan pengalaman sosial pertama bagi setiap individu. Semasa bayi lagi,
anak lelaki dan perempuan dilayan secara berbeza. Terdapat banyak kajian bagaimana
anak lelaki dan perempuan menerima layanan yang berlainan dari ibu bapanya dan orang
dewasa, dari banyaknya sentuhan fizikal dan bukan fizikal yang diterima, aktiviti fizikal
dan lisan yang mereka amalkan, alat mainan yang disediakan (Rheingold and Cook, 1975; Best, 1985), banyaknya dan bentuk hukuman yang diterima, dan juga tanggapan orang
dewasa terhadap ekspresi emosi mereka (Rubin et al., 1974; Condry and Condry, 1976).
Banyak perbezaan dalam layanan tidak disengajakan oleh ibu bapa dan orang dewasa
(sebaliknya ramai dari mereka percaya mereka melayan anak-anak tanpa ada sifat berat
sebelah). Sikap dan tingkah laku mereka hanya mencerminkan jangkaan dan sifat berat
sebelah budaya yang tidak peka-gender. Walau bagaimana pun, semua ini mempunyai
kesan yang mendalam terhadap perkembangan personaliti anak lelaki dan perempuan
dalam menyediakan diri untuk mengamalkan peranan dan tingkah laku gender yang sesuai
seperti yang difikirkan oleh masyarakat (Richardson, 1988, p.35-43).
Terdapat bukti bahawa anak lelaki ditekan lebih kuat untuk bertindak secara ‘sesuai
jantina’ (‘sex-appropriate’). Melalui maklumbalas negatif orang dewasa yang
diperhatikan, kanak-kanak lelaki menunjukkan kebimbangannya melalui “usaha gigihnya
untuk menjadi maskulin, terasa begitu cemas sekiranya dilihat melakukan sesuatu yang
secara tradisinya feminin, dan menjauhi apa-apa sahaja yang dianggap feminin, termasuk
diri kaum wanita itu sendiri (Harley, 1964, p.8). Kanak-kanak perempuan dibenarkan
bertingkah laku seperti lelaki (tomboy), tetapi mereka cepat mempelajari apa yang
dilakukan oleh lelaki lebih penting dan lebih dihargai. Sosialisasi gender dikukuhkan lagi
dengan alat mainan dan buku yang mereka baca. Pada keseluruhannya, lelaki lebih
digalakkan berdikari, meneroka, menjadi agresif, mencipta, menguasai, berjaya,
memanipulasikan persekitarannya; perempuan digalakkan menjadi prihatin, mematuhi,
menghargai ikatan perhubungan dengan orang lain dan sebagainya. Semua ini membantu
kanak-kanak memainkan peranan yang digariskan oleh masyarakat, lelaki berperanan
sebagai pemimpin sosial, ekonomi dan politik manakala wanita menjaga ahli keluarga.
Pembahagian tugas gender antara ibu bapa mereka mengukuhkan lagi tanggapan peranan
gender ini – anak perempuan belajar dari ibunya apa seharusnya dilakukan apabila dewasa
nanti dan anak lelaki belajar dari bapanya apa yang dijangkakan dari bakal isterinya kelak
(Richardson, 1988, p.43-49).
~ Pendidikan Sekolah
Pengkaji di Barat mendapati stereotaip jantina juga meresap dalam pendidikan sekolah.
Resapan ini berlaku melalui buku-buku teks, sikap dan jangkaan (ekspektasi) guru,
kaunseling akademik dan kerjaya sehingga kepada sumber yang mudah didapati untuk
kedua-dua jantina.
Umumnya, beberapa kajian menunjukkan kanak-kanak lelaki lebih berkemungkinan
menghadapi masalah penyesuaian kepada kehidupan sekolah berbanding perempuan di
peringkat awal persekolahan. Ini disebabkan persekitaran bilik darjah memerlukan disiplin
yang kurang digalakkan dalam proses sosialisasi awal kanak-kanak lelaki berbanding kanakkanak
perempuan. Walau bagaimana pun, kanak-kanak lelaki menerima lebih perhatian
daripada guru, sama ada berbentuk positif atau negatif. Mereka juga menjadi orang
utama dalam bilik darjah, dengan guru cenderung lebih berinteraksi dengan kanak-kanak
lelaki (Frazier and Sadker, 1973; Sadker et al., 1986).
Kanak-kanak perempuan diramalkan akur dengan keperluan disiplin bilik darjah, patuh dan
tidak melawan, oleh kerana ini semua adalah sifat-sifat ‘feminin’. Dengan ini, jangkaan
guru mengukuhkan lagi peranan gender dan tingkah laku feminin yang dijangkakan oleh
keluarga dan masyarakat dari kanak-kanak perempuan. Akibatnya sementara kanak-kanak
perempuan kurang mengalami masalah tingkah laku dan pembelajaran di sekolah pada
peringkat awal, mereka lebih berkemungkinan kurang berjaya apabila meningkat akil
baligh (Greenberg, 1985). Oleh kerana kanak-kanak perempuan lebih cenderung bersifat
kurang yakin terhadap diri sendiri dan takut dengan kegagalan, mereka mengelakkan bahan-bahan yang sukar atau merekacipta, dan menganggap opsyen hidupnya terhad
(Richardson, 1988, p.59).
Kanak-kanak mengalami pengasingan jantina begitu kuat dalam kehidupan sekolah mereka
(walau pun di sekolah yang bercampur jantina), termasuk tempat bermain, kehidupan
sosial, aktiviti, dan sebagainya. Subjek sekolah juga berasaskan gender. Matematik dan
sains tulen dianggap subjek maskulin, dan sastera dan kemanusiaan adalah subjek feminin.
Aktiviti kesukanan dianggap sangat maskulin. Pencapaian yang berbeza di kalangan
pelajar lelaki dan perempuan dalam bidang akademik dan aktiviti ko-kurikulum didapati
lebih dibentuk oleh persekitaran daripada mengikut tahap perbezaan intelek dan
kebolehan masing-masing.
• Seksualiti
Perkara yang berkait rapat dengan peranan gender dan perkembangan identiti ialah
seksualiti. Seperti juga gender, seksualiti bukan semata-mata manifestasi dorongan
biologi tetapi merangkumi proses budaya dan sosial yang kompleks:
Seksualiti mewakili penembusan antara pengalaman personal dan konteks sosiobudaya;
tubuh, jiwa, dan persekitaran sosial…seksualiti manusia tidak mempunyai
inti yang melepasi perihal sejarah dan budaya, tetapi merangkumi kepelbagaian
seksualiti yang dicipta, dibentuk, akibat faktor-faktor diri, sosial, ekonomi dan
politik (Naus, 1987, p.37, 39; quoted in Daniluk, 1993).
Biasanya perbezaan tingkah laku seksual antara lelaki dan wanita dianggap sebagai
semulajadi, contohnya, lelaki bersifat agresif dan wanita bersifat submisif, wanita lebih
kerap mengaitkan seks dengan cinta dan komitmen berbanding lelaki. Sebenarnya dalam
budaya kita, seksualiti lelaki dan wanita dibentuk secara berbeza. Lebih penting lagi,
dalam budaya berpaksikan kaum lelaki, wanita selalunya tidak memainkan peranan yang
besar dalam pembentukan seksualiti mereka sendiri. Mereka sering digambarkan sebagai
objek seks dan statusnya direndahkan.
~ Seksualiti Perempuan
Daniluk (1993) contohnya mengenalpasti empat bidang yang membentuk dan menghadkan
pengalaman dan ekspresi seksualiti wanita, iaitu perubatan, agama, media, dan keganasan
seksual. Kesemua ini memberi kesan terhadap ekspresi seksual, imej tubuh, reproduksi,
dan keintiman hubungan wanita. Dalam bidang perubatan, wanita mengalami kekuasaan,
tindakan dan maruahnya diperkecilkan. Wanita dimalukan dengan bahasa perubatan dan
diperalatkan dalam proses perubatan dan prosedur yang kononnya untuk kesihatan
dan/atau mengubati.Fungsi wanita yang normal dijadikan bahan kajian penyakit, dan
wanita merasakan sememangnya bersalah terhadap penyakitnya.
Keganasan seksual dalam bentuk rogol, inses, penderaan lisan dan gangguan seksual
mengakibatkan penyerapan pengalaman sebagai mangsa – fizikal dan juga psikologikal.
Sementara kesedaran risiko ini sememangnya sebahagian realiti menjadi seorang wanita.
Ianya diperkukuhkan lagi apabila perubahan bentuk tubuh wanita mengubah cara lelaki
(bapa, abang, rakan, orang tidak dikenali) berinteraksi dengan wanita.
Media termasuk wayang gambar, iklan, majalah, dan sebagainya, menggambarkan wanita
sebagai barangan dan meletakkan standard yang tidak realistik terhadap kecantikan dan
tingkah laku mereka. Ianya mengakibatkan wanita diperalatkan dan diketepikan,
membuatkan mereka terasa ada kekurangan dan memalukan. Dalam ekspresi seksual, budaya lelaki yang dominan meletakkan kehendak dan keinginan
seksual wanita sebagai sekunder berbanding lelaki. Terdapat mesej yang berterusan
bahawa kebaikan dan kenikmatan seksual adalah pengalaman yang tidak serasi dengan
wanita. Pengalaman kedatangan haid, kehamilan, kelahiran, menyusui bayi dan putus haid
menjelaskan siapa dirinya. Kitaran reproduktif merupakan sumber kewanitaan dan
pengalaman ditindas, tidak berkuasa dan penafian.
Dapatan kajian Daniluk menunjukkan bahawa pengalaman seksualiti wanita itu sendiri
kebanyakannya negatif. Ini menghasilkan kefahaman diri yang lemah. Aspek penindasan
dalam pembentukan budaya diselubungi kesunyian dan kerahsiaan, dan untuk memecahkan
pengasingan ini, wanita perlu berkongsi pengalaman di kalangan wanita sendiri. Terdapat
juga keperluan mempromosikan kerohanian berpaksikan wanita ‘dengan keraian, bukan
cacian terhadap sifat feminin.’
~ Seksualiti Lelaki
Sebagai bandingan, seksualiti lelaki berkait rapat dengan idea seperti agresif, dominasi,
kekuatan, menakluki, pencapaian, dan sebagainya. Ramai mempercayai ciri-ciri ini
ditentukan oleh biologi, bahawa dorongan seksual lelaki terlalu kuat sehingga tidak boleh
dikawal. Lelaki dijangkakan sebagai orang yang menakluki, menindas, memaksa (dalam
aktiviti seksual); wanita sebagai penerima yang menyerah dan mematuhi. Wanita
didefinisikan sebagai objek seks dan dinilai melalui daya penariknya kepada lelaki. Sifat
maskulin selalunya didefinisikan secara sempit dari segi keberanian dan kemampuan
seksual, sebagai idea yang diperkukuhkan oleh tekanan rakan sebaya. Jenaka kotor,
paparan wanita sebagai barangan untuk digunakan dan dinikmati oleh lelaki, membesarbesarkan
desakan seksual merupakan topik yang biasa dibincangkan dalam majlis sosial
lelaki, dan ruang untuk ikatan lelaki (male-bonding) (Dilorio, 1993; Franklin 11, 1993).
Remaja lelaki kerap mula merasakan tekanan rakan sebaya untuk menonjolkan desakan
seksual yang bersesuaian bagi membuktikan sifat maskulin mereka (Franklin 11, 1993,
p.275-276). Galakan ini selalunya tidak disengajakan oleh ibu bapa yang mempamerkan
sikap yang berbeza terhadap anak lelaki dan perempuan mereka – sikap toleransi, sekali
pun jika tidak membenarkan minat anak lelaki terhadap seks, sementara sebarang ekspresi
seksualiti (seperti pakaian ‘seksi’, menunjuk minat terhadap lelaki) anak perempuan
mereka begitu ketat dijaga jika tidak dibenarkan langsung sebagai sesuatu yang
memalukan.
Hakikat bahawa seksualiti lelaki dikaitkan dengan dominasi, agresif, memperalatkan dan
merendahkan wanita menjelaskan mengapa keganasan seksual dalam bentuk rogol,
pencabulan seksual, penderaan, gangguan seksual, dan sebagainya, kebanyakannya
dilakukan oleh lelaki terhadap wanita, dan mengapa melanggan pelacur dan pornografi
berlaku kebanyakannya di kalangan lelaki. Sebaliknya mitos yang popular, tidak terdapat
sesuatu pun yang ditentukan oleh biologi terhadap tingkah laku lelaki sedemikian. Norma
budaya sebenarnya membenarkan jika tidak pun memberikan ganjaran kepada mereka.
~ Implikasi Hubungan Gender
Seksualiti lelaki dan wanita yang dibentuk oleh budaya dalam masyarakat kita tidak boleh
dipisahkan dari ketidaksetaraan asas (fundemental) antara jantina umumnya. ‘Dalam
masyarakat kita, cinta heteroseksual diekspresi secara ghairah (erotic) melalui dominan
lelaki dan kepatuhan wanita’ (Griffin, 1993, p.391). Seksualiti yang dilihat secara sempit dalam masyarakat kita, boleh menjadi sumber utama
masalah dalam hubungan. Bagi lelaki, terdapat kecenderungan menidakkan keperluan
emosi dan menganggap ekspresi emosi sebagai tidak maskulin. Sebaliknya, wanita lebih
cenderung melayani dan menyesuaikan diri kepada keperluan orang lain akibat peranan
keprihatinan yang telah digariskan oleh budaya mereka, tingkah laku tidak mementingkan
diri yang dipelajari dari ibunya dan masyarakat mengaitkannya dengan wanita yang ‘baik’.
Ketidaksetaraan ini membuatkan lelaki menyifatkan dirinya berhak dalam hubungan intim
dan di kalangan wanita, kesukaran bertanggungjawab memenuhi keinginan dirinya sendiri.
Keadaan begini tidak membantu dalam mencapai hubungan yang sihat dan intim. Seperti
yang dinyatakan oleh Jack (1991), kehidupan dewasa yang matang memerlukan pencapaian
keintiman dan perkembangan diri. Hubungan yang ideal membenarkan kedua-dua tugas
untuk ‘disatukan’ apabila seseorang berupaya membesar, mengubah diri dalam konteks
hubungan yang sedang berlaku, apabila keintiman memudahkan perkembangan diri yang
tulen dan perkembangan diri menambahkan lagi keintiman’ (p.48). Seksualiti yang
didefinisikan secara sempit oleh masyarakat kita, menghalang perkembangan keintiman
dan merealisasikan keupayaan individu.
• Rumusan
Perbincangan di atas menunjukkan sifat-sifat maskulin dan feminin dibentuk secara sosial
dan budaya, bukan ditentukan oleh biologi. Sifat-sifat ini dihasilkan dan diulang melalui
proses sosial dan budaya, dengan keibubapaan, keluarga, sekolah, media, dan sebagainya,
memainkan peranan penting. Lagi pun, bidang sosialisasi yang berbeza cenderung
mengukuhkan antara satu sama lain dengan berkongsi pandangan peranan gender yang
sama. Umumnya, peranan gender yang digariskan oleh masyarakat kita untuk
menghasilkan sifat-sifat lelaki untuk memegang jawatan yang berkuasa, usaha untuk
berjaya, dan menjadi pencari rezeki dan orang yang berkuasa memimpin keluarga. Ianya
menghasilkan sifat-sifat wanita yang menghargai ikatan dan hubungan, menjadi prihatin,
membelai, berempati, ringkasnya menjadi penjaga dan penggalak keperluan emosi untuk
keluarga.
Penyifatan peranan gender tidak menyatukan sifat-sifat dalam kedua-dua jantina. Lebih
penting lagi, penyebaran peranan gender, dan dengan demikian, pembahagian tugas
gender dalam masyarakat kita mencerminkan budaya ‘patriachal’ yang berterusan
meletakkan posisi dominan lelaki dan posisi kepatuhan wanita. Dalam banyak keadaan,
perbezaan dalam pencapaian antara kedua-dua jantina dalam pendidikan dan kerjaya,
diskriminasi yang dideritai di tempat kerja dan masyarakat amnya, ringkasnya,
ketidaksetaraan kuasa di antara lelaki dan wanita adalah hasil seksisme (sexism) yang
terdapat dalam budaya kita. Pendidik perlu menyedari peranan mereka dalam membentuk
peranan gender serta memberi kesedaran, dan seharusnya cuba membantu membetulkan
keadaan berat sebelah yang telah meresap ke dalam diri pelajar-pelajar semasa mereka membesar.
jUsT sHaRiNg

1 comment:

  1. nak tanye ape perbezaan dalam cara kita melayan gender? (ketaksamaan)

    ReplyDelete

Elsa - Disney's Frozen