Pentakrifan Gender
Apakah perbezaan antara istilah ‘seks’ dan ‘gender’ dalam kerangka yang dikemukakan oleh PBB? Seks merujuk kepada perbezaan secara biologi di antara lelaki dan wanita, Manakala gender membawa maksud peranan sosial lelaki dan wanita dalam sesuatu budaya dan masyarakat. Oleh itu peranan gender akan terbentuk dengan dipengaruhi oleh satu proses sosialisasi yang kompleks dan mungkin berbeza-beza mengikut keadaan adat dan budaya. Ia ditentukan oleh sikap, kepercayaan dan tingkah laku yang sepadan dengan apa yang dianggap sebagai kelakian dan kewanitaan ideal. Maka gender bergantung kepada interpretasi tentang tingkah laku yang sesuai bagi wanita dan lelaki dalam sesuatu budaya. Oleh kerana peranan gender boleh dibentuk maka ia juga boleh diubah dan dibentuk semula untuk mewujudkan keadaan yang lebih adil dan saksama di antara lelaki dan wanita. Maka, kesamaan gender apabila disebut dalam konteks pembangunan wanita membawa maksud menghapuskan apa-apa rintangan yang dikenakan kepada mereka berdasarkan definisi budaya tentang peranan mereka dalam masyarakat.
3.2 Pendekatan terhadap Kesamaan Gender
Ada tiga pendekatan terhadap kesamaan gender:
(1) Kaedah Formal/Persamaan: dalam kaedah ini, lelaki dan wanita dianggap sama maka hendaklah mereka dilayani dengan cara yang sama tanpa mengambilkira perbezaan biologi atau gender di antara mereka. Kaedah ini boleh membebankan wanita kerana ia ‘buta gender’ dan kaum wanita terpaksa mengikut standad lelaki walaupun keadaan sosial dan ekonomi mereka tidak sama.
(2) Kaedah Melindungi: kaedah ini mengiktiraf perbezaan antara lelaki dan wanita dengan menghalang wanita daripada beberapa bidang dengan alasan untuk ‘melindungi mereka’. Walaupun ia seolah-olah satu kebaikan tetapi kaedah ini berasaskan nilai gender negatif terhadap wanita dengan mengandaikan bahawa mereka adalah kaum yang lemah.
(3) Kaedah Persamaan Substantif: pendekatan ini mengiktiraf perbezaan di antara lelaki dan wanita tetapi menekankan perlu ada persamaan di antara mereka. Ini adalah pendekatan yang digunakan dalam CEDAW iaitu ia memerlukan penghasilan yang sama bukan layanan yang sama (equal outcomes rather than equal treatment).Persamaan yang dituntut adalah dalam bentuk (i) peluang dan capaian yang sama dan (ii) hasil yang sama.
3.3 Kepentingan Kesamaan Gender
Ada tiga sebab kenapa gender dan kesamaan gender adalah penting untuk pembangunan, iaitu
(1) Ketidaksamaan gender merupakan ketidaksamaan yang selalu didapati di semua masyarakat serata dunia.
(2) Ketidaksamaan gender boleh berlaku dalam suatu masyarakat tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi iaitu sama ada dalam kumpulan yang kaya, miskin, bangsa yang dominan atau bangsa yang dianggap bawahan.
(3) Wanita mempunyai tanggung jawab dalam aktiviti ekonomi dan penjagaan manusia. Maka perlu ada satu kesepaduan di antara pembangunan ekonomi dan pembangunan manusia. Wanita menjadi mangsa utama jika kedua-dua perkara ini celaru dan bertentangan.
3.4 Beberapa rumusan ringkas
(1) Walaupun menggunakan teori gender bukan menunjukkan feminisma tetapi analisa terhadap penindasan wanita yang menggunakan asas ketidaksamaan gender itu adalah hasil daripada kerangka pemikiran feminisma. Setiap pendekatan yang diutarakan di atas merupakan hasil pemikiran teori-teori feminisma. Walaupun feminisma itu juga mempunyai berbagai aliran tetapi ia sepakat dalam perkara ini.
(2) Apa yang ditulis dalam Bahagian 3 ini merupakan sedutan daripada dokumen resmi PBB dan memberikan pentakrifan tentang kesamaan gender. Jelas sekali pemikiran feminisma telah menjadi aliran pemikiran perdana dalam isu gender.
(3) Dalam maksud, ‘gender equity’ dan gender equality’ mungkin berbeza tetapi apabila disandarkan kepada kaedah Substantive Equality maka dalam penggunaan kedua-duanya membawa maksud yang sama.
No comments:
Post a Comment