Saturday, 10 January 2015

peranan gender

Peranan gender ialah peranan dan tanggungjawab yang diberikan kepada lelaki dan wanita
yang ditentukan oleh budaya dan politik, yang disosialisasikan dan dipatuhi. Peranan
gender boleh dan memang berubah mengikut peredaran masa, di antara masyarakat dan
budaya, serta akibat dari perubahan sosial, ekonomi dan politik. Peranan gender timbul
dari persepsi sosial tentang perbezaan antara lelaki dan wanita yang menentukan
bagaimana lelaki dan wanita harus berfikir, bertindak dan menunjukkan emosi.
Sementara istilah khusus peranan gender didefinisikan berbeza dalam setiap budaya,
peranan gender biasanya mengandungi ciri-ciri umum tertentu seperti: jangkaan
perwatakan personaliti tertentu (wanita membelai dan tidak berdikari, lelaki asertif dan
berdikari); peranan sosial (lelaki adalah bapa dan pencari rezeki, wanita adalah isteri dan
ibu); dan kedudukan sosial (lelaki ialah askar dan ahli politik, wanita ialah jururawat dan
sukarelawan).
Gender lazimnya dikaitkan dengan peranan dan kedudukan sosial yang berbeza mengikut
zaman dan masyarakat tertentu. Wanita dikatakan lebih cekap dalam pekerjaan seperti
guru sekolah, atau jururawat, kerana kerja-kerja begini melibatkan belaian dan
keprihatinan sebagai ciri-ciri yang dikatakan feminin. Lelaki mungkin dikatakan boleh
menjadi jurutera dan saintis yang lebih baik kerana dilihat sebagai lebih logikal dan
rasional.
Peranan gender mengalami perubahan. Pleck membezakan antara peranan lelaki
tradisional (bercirikan penekanan kepada kekuatan fizikal, ikatan (bonding) yang kuat,
kurang ekspresi emosi dan pendedahan diri, jangkaan menguasai wanita dan kepercayaan
‘double standard’ mengenai aktiviti seksual) dan peranan lelaki yang moden; antaranya
termasuk pencapaian ekonomi, kemahiran intelek dan interpersonal, kelembutan
heteroseksual dan keintiman emosi (Joseph Pleck, 1981)
Batasan tingkah laku dipelajari melalui sosialisasi peranan gender dan dikukuhkan oleh
peraturan institusi.
Magie Richmond-Abbort, dalam bukunya, ‘Masculine and Feminine’, edisi kedua,
menunjukkan bahawa, “sosialisasi di dalam peranan gender berbeza mengikut kitaran
hidup. Ianya bermula pada usia muda, dan kanak-kanak belajar sedikit demi sedikit
meningkatkan tingkah laku stereotaip yang sesuai untuk jantinanya. Mesej budaya yang
memberitahu kanak-kanak tingkah laku bagaimanakah yang sesuai dan sangat kuat
mengukuhkan tindakan yang betul . Dari jangkaan tanpa lisan dan modeling dari ibu bapa
sehingga kepada penonjolan melampau di televisyen dan buku-buku sekolah, mesej budaya
mengenai tingkah laku yang sesuai sukar disanggah. Apabila kanak-kanak memasuki
sekolah dan meninggalkan rumah untuk beberapa jam dalam sehari, kawalan terhadap mesej stereotaip gender mungkin sukar, walau pun bagi ibu bapa yang mahu membesarkan
anak-anak secara tidak stereotaip. Norma rakan sebaya menjadi sangat penting di
peringkat remaja, dan agak sukar bagi remaja perempuan dan lelaki untuk tidak mengikuti
peranan gender tradisional yang telah ditetapkan. Adalah sukar bagi remaja membentuk
identiti diri dalam lingkungan peranan tradisional, dan hanya segelintir yang berani
berbuat sebaliknya. Walau bagaimana pun, terdapat tekanan untuk mengubah norma
rakan sebaya dengan lebih ramai remaja perempuan bersukan dan menjalani latihan dalam
pekerjaan bukan tradisional, dan semakin kurang remaja lelaki bersedia berkorban apa
sahaja untuk pencapaian dan kejayaan”.
Terdapat juga tekanan untuk perubahan yang timbul akibat lamanya status bujang selepas
persekolahan. Apabila wanita mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi, membuat
pelaburan dalam kerjaya, dan kekal bujang lebih lama untuk mencapai cita-citanya,
mereka lebih berkemungkinan menyediakan asas sumber serta minat dan tingkah laku yang
tidak mengikut tradisi. Terdapat juga bukti bahawa perkahwinan menjadi lebih adil
apabila wanita mempunyai lebih kuasa. Wanita lebih berumur apabila mereka berkahwin
dan mungkin taraf pendidikan mereka setanding dengan suami mereka. Lebih ramai
wanita kini bekerja dan mempunyai kuasa dengan menyumbang sumber kepada
perkahwinannya, dan semakin sedikit wanita hilang kuasa dan terikat dengan mempunyai
ramai anak. Walau bagaimana pun, wanita masih bertanggungjawab terhadap kerja-kerja
rumah dan penjagaan anak-anak, dan dwi- bebanan ini menghadkan pencapaian
kerjayanya. Apabila norma membenarkan wanita memegang kuasa yang diperolehi,
terdapat kesetaraan dalam membuat keputusan walau pun tidak berkongsi kerja-kerja
rumah; di mana norma tidak membenarkan wanita memegang kuasa yang diperolehinya,
perhubungan tradisional keluarga mungkin berterusan.
Masa berlalu, tingkah laku peranan gender lelaki dan wanita mungkin berubah. Ramai
wanita hari ini berhenti melahirkan anak pada awal umur empat puluhan, dan memasuki
semula pasaran pekerjaan atau mengejar kerjaya yang lebih mencabar. Wanita begini
mungkin mengubah tingkah laku menjadi asertif, berorientasi kejayaan, dan meningkatnya
kecekapan yang tidak berpeluang dilakukan sebelumnya. Sebaliknya, kerjaya lelaki
mungkin memuncak pada umur pertengahan empat puluhan, dan dengan rangsangan krisis
pertengahan umur, dia mungkin menilai semula apa yang hendak dilakukan terhadap sakibaki
umurnya. Dia mungkin berpaling dari orientasi kejayaan dan menuju ke arah lebih
membelai dan aktiviti yang mendatangkan hasil, sama ada bersama anak-anaknya atau
anak didik di tempat kerjanya. Dia juga lebih menyedari tekanan yang melanda akibat
tidak boleh mengekspresi dirinya, dan ingin memahami perasaannya ketika ini. Kuasa
dalam keluarga berubah apabila wanita berkerjaya tidak mempunyai anak; dan lelaki yang
hampir bersara atau sudah bersara, menghadapi kehilangan peranan pencari rezeki. Di
peringkat tua, wanita dan lelaki mempunyai tingkah laku, aktiviti, dan minat yang sama,
dan lebih banyak tingkah laku yang sama semasa zaman kanak-kanak dahulu.
Jelas terdapat perkembangan gender mengikut kitaran hidup, bermula dari peranan yang
tidak berbeza semasa kanak-kanak, kemudian menjadi ketara bezanya di peringkat remaja
dan awal dewasa, kembali semula kepada tingkah laku yang tidak berbeza di pertengahan
dan peringkat tua. Proses ini boleh dipercepatkan sehingga peranan gender tidak banyak
berbeza.
Begitu juga bermula dari saat kelahiran, keluarga dan masyarakat menekankan peranan
gender yang sesuai kepada kanak-kanak perempuan dan lelaki. Ciri-ciri seperti berdikari,
bercita-cita , agresif, berjaya, membuat keputusan, dan sebagainya dianggap maskulin,
sedangkan kelembutan, murah hati, keprihatinan, pasif, pengikut, dan sebagainya
dianggap feminin. Sosialisasi peranan ini menjadi lebih ketara di peringkat remaja. Di peringkat remaja, lelaki lebih menunjukkan tingkah laku agresif, sementara wanita
tidak menunjukkannya, dan kerap kali memendamnya sehingga mengakibatkan harga diri
yang rendah. Remaja lelaki biasanya diberikan galakan membina harga diri manakala
wanita kurang diberi galakan, sama ada dari ibu bapa, guru atau masyarakat. Wanita lebih
terdedah kepada lebih banyak bentuk gangguan seksual di rumah, di sekolah dan di tempat
awam dan membuatkan mereka merasakan persekitarannya begitu memusuhinya. Jelaslah
banyak lagi perlu dilakukan untuk memastikan remaja perempuan dan lelaki mempunyai
peluang yang setara untuk menikmati pelbagai pendidikan dalam persekitaran yang
menyokong, yang akan menawarkan mereka kemahiran, harga diri dan keyakinan untuk
bahagia dan berjaya dalam hidup mereka.
Untuk memahami lebih mendalam lagi mengenai hubungan antara peranan gender dan
stereotaip gender, perhatikan adegan berikut:
- Siapa menjaga anak-anak apabila mereka sakit?
- Siapa menjalankan kerja-kerja membaik pulih di rumah?
- Jika kanak-kanak lelaki menangis di sekolah, adakah dia dilayan sama seperti kanakkanak
perempuan yang menangis?
- Adakah kanak-kanak lelaki dan perempuan melakukan kerja-kerja yang berbeza di bilik
darjah, contohnya, menyapu lantai, memadam papan hitam, mengelap meja dan
membunyikan loceng?
- Adakah pasukan sukan lelaki dan perempuan dianggap sama penting di sekolah?
- Adakah lelaki dan perempuan sama-sama digalakkan melakukan kerja-kerja yang
mencabar, terutama kerja-kerja yang memerlukan kemahiran teknikal?
jUsT sHaRiNg

No comments:

Post a Comment

Elsa - Disney's Frozen